Saturday, October 9, 2010

VSAT oh VSAT

Aku menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik. Kerja-kerja penyelenggaran oleh syarikat kontraktor telah ku abadikan dalam foto-foto yang boleh dibuat rujukan untuk laporan bulanan di pejabatku.

Sepanjang pembinaan tapak VSAT, aku hanya berbual dengan pekerja asing. Bertanyakan itu dan ini. Si dia juga ada di tapak pembinaan tersebut. Ku dengar suaranya dari jauh tanpa memerhatikannya. Dia hanya memberikan arahan kepada pekerja asing sebagai penyelia yang dipertanggujawabkan oleh majikannya.

Encik JA: Dol, itu u lebarkan 2 kaki... kemudian u cangkul dalam sikit. Supaya tapaknya kukuh.

Aku hanya memandang tanpa berkata sepatah pun. Kerana itu bukan dalam senarai tugasku.

Tepat pukul 6 petang, aku kembali ke rumah setelah waktu kerjaku habis. Aku tinggalkan sahaja pekerja-pekerja tersebut menjalankan kerja-kerja mereka dan mengamanahkan mereka kunci pejabatku sekiranya mereka ingin bermalam.

Sampai di rumah aku terus membersihkan diri dan ingin merehatkan diri.

Malamku terasa sungguh sepi... Sunyi... Ku capai novel, Andai Itu Takdirnya yang telah 5 kali ku ulang baca. Kisahnya sungguh menyayat hati.

Adakah nasibku akan sepertinya. Oh, tidak mungkin. Aku ingin melukiskan lakaran kehidupanku dengan warna-warna yang indah. Biarpun duka seringkali menjengah dan mengoyahkan hati kecilku, aku kena kuat dan terus tabah meniti perjalanan hidupku.

Mendung tidak bererti hujan, setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya. Dan tidak semestinya jalan itu senantiasa berliku. Bila tiba di penghujung pasti ada sirna kebahagiaan yang muncul.

Mungkin aku terlalu terbawa-bawa dalam kisah itu. Oh hati, damailah engkau di sana. Bebaskan dirimu dari belenggu kisah silam. Mulakan hidup baru.

Jauh ku mengelamun. Telefon bimbitku berbunyi tiupan saksofon Kenny G – Breathless. Sungguh damai jiwaku. Hampir aku terlupa.


Aku: Ye encik...

Encik JA: Maaf menganggu awak. Ada orang marah ke?

Dia sekadar ingin menduga aku atau tiada niat apa-apa. Tak patut aku berprasangka buruk. Ku sematkan di hati untuk tidak memberikan sebarang  peluang untuk sesiapa mendekati diriku. Lantas ku menjawap.

Aku: Kalau tak ada kenapa? Ada apa, Encik?

Encik JA: Esok lepas kerja-kerja penyelenggaraan selesai, saya letak kunci pejabat awak di bawah batu wayar bumi di luar. Awak ambil di situ.

Aku: Baiklah encik. Assalammualaikum.

Encik JA: Waalaikummussalam.

Aku ambil semula novel kesayanganku, Ku teruskan bacaan hingga ku rasa mataku pedih. Aku simpan kembali novelku di rak. Aku menepuk-nepuk bantal, dan ingin beradu. Semoga malamku disulami dengan mimpi-mimpi yang indah.

Thursday, October 7, 2010

Oh, Cik Penolong Pengurus

Jiwaku bagai memberontak...

Oh, Cik Penolong Pengurus... Sungguh cantik matamu. Bagai menusuk pangkal hatiku. Menyusup lembut ke jiwaku. Indah...

Milik siapakah gadis ini?

Tahukah kau, bahawa aku merasakan sesuatu dalam diriku. Bermula penghijrahanku untuk projek terakhir yang melibatkan syarikatku, aku telah berniat dan berharap mungkinkah di sini cintaku bermukim.

Hatiku berbisik

Memohon pada-Mu, Ya Allah, Aku mengharap dan berserah pada-Mu, andai di sini takdir jodohku, dekatlah jiwanya dengan jiwaku. Seperti mana Kau ciptakan Adam dan Hawa. Amin Ya Rabbal Alamin...

Ya Allah, kenapa begitu sukar untuk aku membaca apa yang difikirkan oleh gadis ini, perwatakannya, cara dia bergaul. Kenapa aku perlu memikirkannya?

 Siapakah dia sebenarnya? Aku melayan perasaan sendiri di kamar. 

Buntu... 

Kata orang, Tak Kenal Maka Tak Cinta...

Tapi inikah Cinta.

Ikuti sambungannya di, "VSAT oh VSAT".

SIT? Siapa dia?

Aku: Encik...

Terlalu asyik hingga x sedar bahawa dia masih di dunia realiti. Dan aku masih menunggu jawapan darinya. Apa la yang dia fikir pasal aku. Hodohkah aku? Atau ada kotoran di mukaku.

Encik JA: Oh... Boleh. Awak cubalah mohon.Mana tahu boleh dapat. Cuba awak tanya dengan SIT awak.

Dia cuba melindungi perasaan malunya dariku.

Di dalam hatiku tertanya-tanya, SIT tu siapa pula? Baru pertama kali aku dengar. Oh... Mungkin org atasan aku.

Aku: Terima kasih ye, Encik.

Tanpa berlengah. Aku berlalu pergi meninggalkan dan masuk semula ke dalam pejabat untuk mengambil kamera kerana Aku diberikan tugas untuk mengambil segala gambar-gambar sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan. 

Ikuti sambungannya di "Oh, Cik Penolong Pengurus"

Tuesday, October 5, 2010

Boleh saya tanya sesuatu?

Inilah akibatnya makan burger dgn kerek. Perutku terasa senak, mungkin kerana terlalu kenyang atau x cukup hadam lantas tercekik. Aku keluar dari office. Ingin menghirup udara yang segar. Bagai kekurangan oksigen. 

Aku ternampak seseorang di sana. Melihat pekerjanya membersihkan longkang di belakang pejabatku. Aku harus memanfaatkan detik itu. Nak pergi atau x? Perlukah aku bertanya? Aku menapak selangkah demi selangkah dan mendekatinya... 

Aku: Encik, saya ada hajat ini. Nak tanya sikit, boleh x?

Encik JA: Tanyalah.

Sunyi seketika.

Menjawap cam xda perasaan je dia ni. Hish... Tak kuasa aku. Tapi...

Ah... yang penting aku dapat jawapan yang aku nak.

Aku: Encik, kalau saya ada degree, lepas graduate, boleh tak saya mohon jadi Pengurus? 

Dengan muka konfiden... Hahaha... Aku dapat mengesan sesuatu pada mukaku... kembang... Malunya...

Suasana senyap... Hanya hela nafas yang dapat didengari antara 2 insan... Sambil memerhati raut wajahku tanpa lepas. Terpana... 

Apa yang akan jadi selepas itu...

Ikuti sambungannya di "SIT, Siapa dia?"

Tercekik...

Bosan dengan duduk sahaja, aku bangun dari pertapaanku dan menegur salah seorang pekerja yang ku lihat dari tadi hanya duduk dan melihat pekerja asing membuat kerja. Dia yang ku gelar sebagai Encik "JA".

Aku: Encik ada apa nak kirim? Saya nak ke kedai depan beli keropok dan air. 

Tanpa berkata sepatah pun, Encik JA menghulurkan not kertas RM10 kepadaku. 

Hish... 'Cam belagak bagus je mamat ni, dah la nampak boxer'. Ops... Aku terlihat tanpa sengaja. Ku bermonolog sendiri. 

Apa yang aku fikir ni? Menghukum orang tanpa kenal sape dia? Pe jawatan dia? 

Balik dari kedai, aku hulurkan duit lebihan dan keropok serta air kotak. Ku tunggu juga dia cakap, Thanks. Tapi hampa je. Huh... Sebel... Makanan yang aku beli untuk diriku, ku bayar sendiri kerana tak nak terhutang budi dengan Encik JA a.k.a Encik Boxer. 

Sedang asyik menikmati burger daging yang ku beli, dia hulurkan air kotak perisa soya kepadaku. Ceh... Ambil hati la tu kononnya... Ah, terlambat sudah. Da lama aku tercekik baru nak hulur. Lama ku perhatikannya. Akhirnya, aku ambil juga air kotak yang dihulurkan.

Adakah aku telah terhutang budi? Jika aku sombong tak bertempat, aku juga yang rugi. Boleh mati tercekik...

Terima kasih, Encik, kataku padanya. 
Dia hanya senyum. 


Ikuti sambungannya di "Boleh saya tanya sesuatu?"

Hello... Haa... Ye encik...

Hari-hari yang ku lalui terasa indah tanpa tekanan kerja yang maha hebat. Pagi-pagi bila ku buka mata, aku mampu tersenyum. Bersiap tanpa perlu bergegas untuk mengejar bas takut terlewat. Kerana jarak dari rumahku ke pejabat hanya 3 minit. Mungkin inilah antara kelebihan yang Allah telah rencanakan untuk aku. Siapa sangka? 

"Ya Allah Ya Tuhanku, aku bersyukur atas nikmat yang telah Kau berikan padaku. Kerana Kau adalah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Aku adalah manusia yang serba kekurangan, Lindungilah diriku di bawah naungan-Mu."

Sedang sibuk memanjakan diri sebelum berangkat ke pejabat, aku menerima panggilan telefon. Nombor yang sangat asing. Siapa la hamba Allah yang menganggu ketenteraman aku di kala ini. Huhu...

Tut... tut... tut... tut... 

Ku biarkan lama sebelum menerima panggilan tersebut...

Dengan suara yang agak kurang sopan ku rasa. Bagaimana la reaksi si pendengarnya. Lucu...

Aku: Hello... Haaa... Ye encik, boleh saya bantu?

Encik JA: Saya nak datang pejabat awak ni untuk kerja penyelenggaraan. Awak sekarang ada di mana? Sebab saya tiada kunci nak masuk.

Suara Encik ni sopan sungguh. Malunya aku... Terdiam seketika...

Aku: Encik sekarang dah kat mana?

Encik JA: Saya dah ada di depan pejabat awak ni.

Aku: Oklah, Encik. Kejap lagi saya datang.

Menjadi satu kerja pulak nak menghantar kunci. Kemudian menunggu mereka buat kerja penyelenggaraan sehingga selesai. Huhu... Muka pun da macam cencurut.  Sampai di pejabat, aku bukakan pintu pagar dan sliding. Untuk memudahkan mereka membuat kerja, aku hanya duduk di satu sudut dan memerhati mereka membuat kerja tanpa menegur mereka.

Sombongkah aku? Malukah aku? Rahsia di hati tidak siapa tahu.

Ikuti sambungannya di "Tercekik"...


Monday, October 4, 2010

Bukan Panggilan Hangit

Sebuah kisah bermula... Entah bagaimana ianya boleh berlaku... segalanya bagai tanpa sedar... Mimpikah Aku? Namun mungkin itu yang sudah tertulis dan tercatat di Loh Mahfuz... Adakah aku menerimanya...

Aku adalah pelajar lepasan 'degree' dari universiti swasta. Lepas tamat belajar selama 2 minggu, aku ditawarkan jawatan sebagai Penolong Pengurus di salah satu pejabat di dalam kawasan kampungku. Ini bukanlah impianku. Kerana aku berhasrat untuk memulakan kerjayaku di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

Segala cara aku gunakan supaya aku tidak berjaya dalam temuduga yang dijalankan. Ingin tahu bagaimana strategi aku? Bila diimbas kembali aku hanya mampu tersenyum. Penemuduga A yang berwajah serius menyoalku, "Apa kelebihan yang ada di dalam kawasan tempatku tinggal?. Dengan senyuman yang cukup sumbing pernah aku lemparkan, aku terangkan kepada beliau bahawa kampungku ada jalan tar, kelapa sawit, pokok getah dan bla... bla... bla.... hahahaha... Berkerut jadinya dahi si penemuduga... aku rasa cam tebal juga muka aku masa menjawap. Beliau membangkang kata-kataku seumpama beliau mengetahui dengan terperinici demografi kampungnya. Beliau menyatakan kampungku berkembang seiring dengan kemajuan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan... Kuang... Kuang... Kuang... Ah peduli la... Bagi aku apa yang penting aku tidak ditawarkan jawatan tersebut.

Selang beberapa minggu kemudian...

Aku: Hello...

Company A: Boleh saya cakap dengan Cik Meza...

Aku: Ye saya...
 
Company A: Saya Farah... Awak diterima bekerja di Company kami. 

Aku: Untuk jawatan apa ya? di dalam hati aku tertanya-tanya. Kusut kepalaku... dan buntu seketika... 

Company A: Ini bukan panggilan  hangit dr Hot Fm... Tahniah... Awak berjaya dalam temuduga kelmarin sebagai Penolong Pengurus...

Aku: Kenapa saya???

Company A: Kelayakan yang awak ada di samping point-point yang awak jawap masa temuduga di ambil kira dan awaklah calon yang layak...

Wajar ke apa yang diperkatakannya... Punahlah segala harapanku, impianku... Huhuhu...  Dalam keterpaksaan ku terima jua rezeki yang dilimpahkan oleh-Nya kepadaku... Tanda mensyukuri rahmat dari-Nya... Terima kasih...

Hari ini dalam bulan Mac, adalah hari pertama aku bekerja dalam seumur hidupku. Aku memulakan pekerjaan ini dalam keterpaksaan... tiada terpancar cahaya kegembiraan pada wajah ini... Aku mula melaporkan diri pada awal bulan Mac 2010 di pejabat yang masih tunggang-langgang kerana kerja penyelenggaraan. Penuh debu dan habuk... 

Aku meneliti segala kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja dari syarikat kontraktor. Saban hari itu jua yang ku lakukan. Tugasku sebagai Penolong Pengurus yang sebenar belum bermula. Dijangka pada awal bulan April 2010, aku mula memulakan tugasku.


Ikhlaskah aku dengan tugas ini? Hanya Tuhan yang mengetahui tiap sesuatu yang berlaku pada hamba-Nya...


Dalam meniti hari-hari yang penuh cabaran, Tuhan telah merencanakan sesuatu dalam hidupku...

Ikuti sambungannya di "Hello... Ha... Ye Encik...?"

Sunday, October 3, 2010

~Perutusan~

hai sahabat2, i baru di sini. cube untuk mencoretkan sesuatu yang mana menjadi kenangan terindah dan yang boleh dijadikan sempadan buat yang sedang mencipta kenangan dalam hidup agar menjadi lipatan sejarah... kehidupan ini sungguh indah. saban hari kita melakonkan watak2 yang berbeza dalam diri kita...