Thursday, December 16, 2010

Debaran… Ijab dan Qabul Di Majlis Pernikahan

Jumaat, 10 Disember 2010…

Jam menunjukkan tepat pukul 11.45 pagi, jurusolek yang diamanahkan untuk merias wajahku hadir di perkarangan rumah… masanya telah tiba untuk melakukan sedikit sentuhan terhadap wajahku yang selama ini sederhana dengan hanya bedak asas dan secalit gincu pudar…

Keningku yang selama ini terlukis indah dicantas… Aku hanya menyerahkan kepercayaan kepada jurusolek untuk membuat perubahan… 

Namun, di dalam hati… Terselit rasa terkilan… Kerna selama ini aku tidak pernah mengubah setiap pemberian Penciptaku… 

Lebih kurang 45 minit berlalu, wajahku kini tampak berlainan…

Siapakah bayangan di dalam cermin itu? Adakah diriku yang kini…

Sungguh berlainan… bisikku…

Pintu bilikku diketuk…

Masuklah…, jeritku dari dalam…

Pendaftar nikah masuk ke bilikku bersama ayahanda yang kemas berbaju melayu biru dan bersamping…

Nama penuhku pemberian ayahanda disebut…

Setujukah kamu dikahwinkan dengan Encik JA yang bakal menjadi suamimu?

Saya setuju…

Saat itu, ketenangan yang ku rasa di jiwaku… Alangkah indah perasaan ini… Tiada debaran yang mengocak di benakku…

Aku terima Dia seikhlas hatiku hanya kerana-MU, Ya Allah… 

Setelah penyerahan wakalah wali oleh ayahanda, pendaftar nikah menunggu ketibaan si Dia di teratak ayahanda dan bonda… 

Pelamin tersergam indah di ruangan…

Aku mengambil keputusan untuk bernikah di rumah memandangkan semua kerabat keluarga telah sampai pada malam jumaat…

Jam 3.00 petang, Si dia sampai bersama kaum keluarganya untuk menyaksikan majlis yang akan menyatukan kami berlandaskan syarak…

Aku hanya menunggu di kamar yang dihias indah…

Kakak iparku memberikan isyarat tangan yang menyatakan Si Dia melepasi lafaz ijab qabul dan diminta untuk mengulangi lafaz untuk kali kedua…

Aku mendengar suaranya yang tenang dan sayup dan namaku disebut…
Sayup menyusup lembut di jiwa…

“Aku terima nikah dengan mas kahwin RM22.50 tunai…”

Sah… Hanya itu yang ku dengar dari para saksi…

Alhamdulillah, ku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi… Kini, aku menjadi miliknya yang hakiki…

Aku dipanggil keluar dari kamar dan menyertai mereka di ruang tamu untuk upacara pembatalan air sembahyang…

Tangannya ku sambut dan ku cium…

Hatiku berbisik… Ya Allah Ya Tuhanku, terima kasih kerana menganugerahkan aku seorang suami yang bakal menjadi pembimbinganku di dunia dan akhirat…
Jadikanlah aku isteri yang solehah untuknya. Amin…

Lantas dahiku dikucup lembut...

Mmuah... berdecit bunyinya...


cuba ku tahan tawaku... 

Ish apa la suamiku ini... hehe... Cium berbunyi...


Ku lihat pipinya merah mungkin menahan malu...

Bergetar jiwaku kerna untuk pertama kalinya dia menyentuh ubun-ubunku… 

Terima kasih, suamiku…

Ku renung matanya dalam dan penuh bermakna…

Tiada setitik air mataku jatuh kerna ketenangan menjadi milikku kini…

Aku bersyukur…

Bacaan taklik dilafazkan olehnya… Aku memandang matanya dan memahami setiap patah yang diucapkannya…

Aku yang berasal dari selatan tanah air, perlu mengikuti segala prosedur yang ditetapkan dalam majlis pernikahan… Proses penyerahan penjagaan dan tanggungjawab oleh keluargaku kepada pengantin lelaki. Si dia memegang ubun-ubunku sambil membaca akujanji, ayahanda dan bonda juga perlu membaca ikrar penyerahan…
Semasa ayahanda membacakan penyerahan penjagaan, dia menitiskan air mata…
Syahdu… Suasana dirundung kesedihan. Para tetamu juga turut merasakan kesedihan itu… dan ada juga yang menangis…

Sunyi seketika…

Suamiku menerima menyerahan tanggungjawab itu…

Aku membaca ikrar pelepasan minta  dihalalkan air susu ibu… Bonda hanya memandangku dengan sayup…

Ini tidak ku anggap sebagai sandiwara kerana aku benar-benar ikhlas memohon ibu menghalalkan setiap titis susu sejak aku dilahirkan hinggalah berumur 5 tahun…
Aku manusia yang tabah… Tiada setitis airmata jatuh ke pipiku… Kerna di hari yang baik dan dirahmati ini, tiada apa yang perlu ditangisi…

Majlis pada petang itu berjalan lancar... Ku bermunajat majlis pada malam ini dan keesokkan harinya juga begitu...

No comments:

Post a Comment