Friday, April 22, 2011

Antara Mimpi Dalam Mimpi

Dari jauh aku seakan-akan mengenali dirinya. Aku berlari-lari anak cuba mendapatkannya.
Penat… Nafasku turun naik.

Aku memintasnya…

Memang betul sangkaanku. Dia orangnya. Aku peluknya dengan erat tanpa mempedulikan orang di sekitarku. Aku amat merinduinya. Bagai luruh segala rasa rindu yang menyesakkan jiwa yang telah lama ku pendam.. Aku tidak kisah apa anggapannya terhadapku. Mungkin dia mengganggapku perempuan yang gila bayang.

Ah, persetankan semua itu. 

Aku bagai sedar dari igauanku. Ku leraikan pelukkanku yang mungkin menyesakkan dadanya.

Siapakah dia?

Dia adalah insan pertama yang pernah aku cintai suatu ketika dulu. Yang telah aku curahkan segala rasa kasih dan sayangku. Yang pernah sama-sama menghabiskan usia remaja yang indah. Bagai dunia ini kami yang punya.

Hanya dia yang amat aku rindui.

Ku tatap wajahnya yang kusut dan tidak bermaya. 

Apa yang telah terjadi kepada dirinya?

Ke mana hilangnya dirimu selama ini, sayang?

Aku menarik tangannya lembut ke arah bangku di kawasan lapang itu. Aku ingin meluangkan masa dengannya dan aku tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini.

Zaiful, aku amat merinduimu. Aku inginkan hubungan kita yang dulu. Aku takkan mengecewakanmu.

Dia hanya diam dan memandangku kosong.

Zaiful…

Kenapa kau diam.

Katakan sesuatu kepadaku. Aku teringin mendengar suaramu manja menyapa di telingaku.
Aku bagai orang yang terseksa kerana dia terus membisu.

Pertemuan itu sungguh mengecewakan.

Keesokkan hari, sekali lagi aku bertemu dengannya di tempat yang sama.
Dia menghulurkan sekeping kertas padaku.

Zarin, aku bukan seperti dulu. Aku bukan Zaiful yang pernah menjadi milikmu suatu ketika dulu. Aku manusia yang sungguh berlainan dan pastinya Kau tidak akan dapat menerimaku lagi.
Aku terpaksa tanpa kerelaanku. Aku menjadi begini kerna aku terlalu kecewa apabila Kau meninggalkanku dan sejak dari saat itu, kepercayaanku terhadap perempuan kian tipis.
Maafkan aku Zarin.

Zaiful, aku tidak faham apa yang kau ingin sampaikan padaku. Berterus teranglah. Aku akan cuba menerimanya. Dan aku mengakui segala kesilapanku meninggalkanmu dahulu.

Zarin, aku kini menjalinkan hubungan sesama lelaki dan aku telah menyerahkan tubuhku kepada mereka yang sanggup melayani kesepian malam-malamku. Aku telah jauh menyimpang.

Ada tinta jernih di sudut matanya.

Aku terpana bagai tidak mempercayai kata-kata yang terluah dari bibirnya. 

Sesak dadaku.

Oh Tuhan, aku sungguh tidak percaya dengan luahannya itu. Dalam terkesima aku kecewa.
Buktikan padaku, Zaiful jika benar kata-katamu.

Dia memaut jari-jemariku lembut dan  membawaku ke suatu tempat yang asing.

Bangunan yang menempatkan bilik-bilik kecil.

Salah satu pintu yang berkunci dibuka, dan dari situ dapat aku melihat pasangan lelaki tidur bersama tanpa berbaju. Tanpa memikirkan dosa dan balasan tuhan. Mereka bagai berada dalam dunia khayalan mereka.

Aku tidak dapat membayangkan Zaiful seperti itu.

Ku tatap wajahnya lembut dan matanya yang sayu itu.

Ya Allah, kuatkanlah diriku untuk menghadapi semua ini dan lindungilah diriku dan insan yang amat aku sayangi dari segala kejahatan manusia dan gangguan jin dan syaitan, doaku di dalam hati.

Kakiku bagai tidak jejak tanah. Aku terawang-awang. 

Benar Dia jujur dengan kata-katanya. 

Zaiful, kenapa terlalu jauh kau mengambil langkah. Tidak terfikirkah kau akan keluargamu yang amat menyayangimu. Diriku yang amat menyintai dan merinduimu.
Adakah ini semua salahku?

Sedang fikiranku berkecamuk, kami didatangi seorang lelaki.

Dia menarik Zaiful ke dalam dakapannya dan berlalu pergi meninggalkanku. 

Aku berlari mendapatkan Zaiful kerna Zaiful hanya milikku. 

Terjadilah pergaduhan antara aku dan lelaki asing itu. 

Zaiful cuba meleraikan kami dan tanpa sengaja lelaki itu telah menusuk besi tajam itu tepat ke dada Zaiful. 

Aku menerpa laju ke arah Zaiful dan cuba menekap darah yang keluar membuak dari dada bidangnya.

Apa yang dah jadi ini, Ya Allah, selamatkanlah dia. Aku amat menyayanginya dan tidak ingin kehilangannya sekali lagi.

Dalam kepayahan, aku memapahnya ke kereta. Sepanjang perjalanan aku masih menekap dadanya dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.

Nafasnya kian sesak.

Zaiful, bertahan sayang. Aku tidak mahu kehilanganmu.

Dalam sendu, ku lihat dadanya yang berombak perlahan…

Ku panjatkan doa pada Yang Maha Esa, semoga dirinya kuat menghadapi keadaan ini.

Aku terjaga dari lenaku yang panjang...
Ya Allah, apakah petanda semua ini?

* Kisah ini dipetik dari sebuah mimpi yang panjang.


Friday, April 8, 2011

Cinta Jarak Usia (Part 2)

Beberapa bulan lepas, topik ini pernah aku coretkan buat tatapan teman-teman sekalian, jadi di kesempatan ini, aku ingin menyambung topik yang sama dengan tips-tips yang boleh dijadikan panduan. Insya-Allah. Hanya ingin berkongsi ilmu.

Jika suami lebih berusia, pastinya sifat matang harus ada dalam diri. Janganlah kerana si isteri masih muda, semua kerja rumah diberikan sepenuhnya kepada isteri. Suami haruslah menunjukkan sifat baik dan memberi panduan yang sebaiknya pada si isteri yang masih baru dalam alam rumahtangga. Zaman kini juga masih ada pasangan yang berkahwin mempunyai jarak usia yang jauh. Ia bukan sesuatu yang mustahil. Sifat faham memahami amat penting dalam membina institusi kekeluargaan. 

Terdapat juga cabaran dalam menjalani rumahtangga, contohnya, jika si isteri masih muda, jenis kawan dan destinasi untuk bersantai, mungkin menyebabkan si suami harus pandai membawa diri dan begitu juga sebaliknya.


CARA MEMILIH CALON SUAMI DENGAN JARAK USIA YANG BERBEZA


1. KarisMA
Pilihlah seorang lelaki yang bakal dijadikan pendamping hidup mempunyai karisma untuk menjadi pemimpin kepada isteri dan anak-anak.

2. AgaMA
Jika salah seorang pasangan sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, agama menjadi pendinding supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak baik. Isteri dan anak-anak juga akan menghormati si suami.

3. BersaMA
Jika telah lengkap segala aspek-aspek keyakinan dalam diri, bolehlah hidup bersama. Insya Allah. Pasangan haruslah yakin dan tidak hanya mendengar setiap kritikan masyarakat. 

3 PANTANG DALAM RUMAHTANGGA

1. Jangan marah-marah
Mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dengan kasar. Seorang sahabat pernah bertemu Rasululah dan beliau pernah berpesan, 'Jangan marah-marah' untuk mendapatkan kehidupan yang harmoni.

2. Jangan mengkritik pasangan kita
Gunakan bahasa yang indah untuk menegur pasangan kita supaya dia lebih merasai dihargai. Carilah masa dan tempat yang sesuai. Contohnya selesai solat bersama atau ketika sedang berbaring sebelum tidur.

3. Jangan memburukkan pasangan
Jangan bercerita dengan ibu bapa atau kaum keluarga mengenai keburukan suami atau isteri biarpun kita niat bergurau. Kerana ia akan mendatangkan satu perasaan kurang selesa pada pasangan kita. 

TIPS PENTING

Ketika sedang bersantai bersama suami, belailah rambut suami ketika suami meletakkan kepala di peha isteri, ketika berpegangan tangan dan sebagainya. Si isteri haruslah membaca ungkapan ahli syurga, Bismillah supaya tidak terputus mendapat keberkatan daripada Allah.


 Ertinya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

DOA YANG BOLEH DIAMALKAN


Ayat Doa 1: Doa ketika berhajat. Baca 3x


(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. Surah Yassin, Ayat 58

Ayat Doa 2: Doa memohon dihilangkan perasaan dukacita


Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat)Surah Fatir, Ayat 34

Semua pasangan punya harapan dan impian dalam rumahtangga, aku juga tidak terkecuali. Semoga ikatan yang terjalin antara kami diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Berkekalan dan bahagia di dunia dan akhiratBiarpun jarak usia jauh atau dekat, pasangan haruslah saling melengkapi dan wujudkan kemesraan antara suami dan isteri. 

Thursday, April 7, 2011

Di katil ini...

Tika aku di wad, sempat juga la mencoret sebuah puisi

kaku...
aku di katil ini...
dari kelmarin
sakit yang mencengkam...
menusuk hingga ke tulang temulang...
jarum itu...
sungguh berbisa...
menikam tangan ku...
yg berurat halus bagai belati...
tajam...
air mata tanpa malu...
menitis lembut...
ada sendu di situ...
tubuhku yang kurus...
kian susut...
sampai bilakah harus begini...

Not on the road... Percutian yang tidak diingini...

Jika GPS tidak di'update', bila kita melalui 1 kawasan, akan terpaparlah di skrin, NOT ON THE ROAD. Dan pastinya kita akan kehilangan arah. Hampir 2 bulan aku menghilang tanpa khabar dan coretan. Dan pastinya ramai tertanya-tanya apa yang telah berlaku pada aku... mungkin keluarga aku...


Febuari lepas, masa orang yang asyik bercinta menyambut 'hari kekasih', aku terlantar di katil hospital. Seminggu di kampung, keadaanku memburuk. Dari hanya sekali sekala muntah, menjadi kerap.


Hingga tiada apa yang bisa aku makan dan minum... Tiada apa yang mahu masuk ke perutku untuk diisi. 


Terlintas di benakku, Apakah ini yang pernah ibuku lalui ketika mengandungkanku? Ya Allah, Hanya Dia sahaja yang Maha mengetahui... Sungguh besar pengorbannya buat kami berenam.


Tanggal 14 Febuari 2011, aku dimasukkan ke Hospital Segamat disebabkan kekurangan galian dalam badan atau dalam bahasa doktor, Hyperemesis Gravidarum. Al maklumlah tidak pernah masuk hospital dan bermalam di wad. Biarpun sakit tapi masih ada rasa teruja.


Kepada Mr Hubby, aku sampaikan berita ini. Dari suaranya di kejauhan, aku tahu dia risau akan keadaanku. 

Malam pertama di wad, masih belum dapat biasakan diri. Biarpun jarum jam menunjukkan ke angka 2, tetapi mataku masih bulat merenung siling. Bermacam-macam perkara yang ku fikirkan. Sukar untukku lelapkan mata dengan jarum yang panjang dan bersaiz besar menusuk di uratku yang halus yang berfungsi agar saluran cairan daripada botol masuk ke dalam tubuhku.



Akhirnya aku terlelap...


Seawal 6 pagi, aku telah bangkit dari tidur kerana botol cairan yang tergantung telah kosong. Alahan muntahku yang teruk berkurangan. Ubat muntah yang diberi melalui tiub berfungsi dengan baik. Pagi itu, aku mampu mengisi perutku dengan roti.


Hari kedua di hospital aku dikejutkan dengan kehadiran Mr Hubby seawal 8 pagi menjengukku. Sejam lepas sewaktu aku menelefonnya, dia menyatakan ada di KL dan dalam perjalanan ke pasar. 


Seronoknya hariku... 


Jam menunjukkan pulul 7.30 petang, tiba masanya untuk kami berpisah. Mr Hubby terpaksa pulang ke KL kerana harus kerja keesokkan harinya. Pastinya Dia penat. Menghabiskan hampir 6 jam hanya di jalanan. 


Hari ketiga di hospital, mungkin aku boleh pulang. Memandangkan keadaanku membaik dan boleh makan. Dalam diam, hampir 15 botol cairan telah dimasukkan ke dalam tubuhku.


Harapanku, semoga aku bisa makan seperti di awal kehamilan dan cergas. Insya Allah...

Tuesday, April 5, 2011

Salam Semua

Maaf semua teman-teman kerana telah lama tidak mengemaskini blog ini...
 Baru kini berkesempatan...
Insya Allah selepas ini, saya akan meneruskan kembali mencoretkan sesuatu di sini...