Friday, April 22, 2011

Antara Mimpi Dalam Mimpi

Dari jauh aku seakan-akan mengenali dirinya. Aku berlari-lari anak cuba mendapatkannya.
Penat… Nafasku turun naik.

Aku memintasnya…

Memang betul sangkaanku. Dia orangnya. Aku peluknya dengan erat tanpa mempedulikan orang di sekitarku. Aku amat merinduinya. Bagai luruh segala rasa rindu yang menyesakkan jiwa yang telah lama ku pendam.. Aku tidak kisah apa anggapannya terhadapku. Mungkin dia mengganggapku perempuan yang gila bayang.

Ah, persetankan semua itu. 

Aku bagai sedar dari igauanku. Ku leraikan pelukkanku yang mungkin menyesakkan dadanya.

Siapakah dia?

Dia adalah insan pertama yang pernah aku cintai suatu ketika dulu. Yang telah aku curahkan segala rasa kasih dan sayangku. Yang pernah sama-sama menghabiskan usia remaja yang indah. Bagai dunia ini kami yang punya.

Hanya dia yang amat aku rindui.

Ku tatap wajahnya yang kusut dan tidak bermaya. 

Apa yang telah terjadi kepada dirinya?

Ke mana hilangnya dirimu selama ini, sayang?

Aku menarik tangannya lembut ke arah bangku di kawasan lapang itu. Aku ingin meluangkan masa dengannya dan aku tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini.

Zaiful, aku amat merinduimu. Aku inginkan hubungan kita yang dulu. Aku takkan mengecewakanmu.

Dia hanya diam dan memandangku kosong.

Zaiful…

Kenapa kau diam.

Katakan sesuatu kepadaku. Aku teringin mendengar suaramu manja menyapa di telingaku.
Aku bagai orang yang terseksa kerana dia terus membisu.

Pertemuan itu sungguh mengecewakan.

Keesokkan hari, sekali lagi aku bertemu dengannya di tempat yang sama.
Dia menghulurkan sekeping kertas padaku.

Zarin, aku bukan seperti dulu. Aku bukan Zaiful yang pernah menjadi milikmu suatu ketika dulu. Aku manusia yang sungguh berlainan dan pastinya Kau tidak akan dapat menerimaku lagi.
Aku terpaksa tanpa kerelaanku. Aku menjadi begini kerna aku terlalu kecewa apabila Kau meninggalkanku dan sejak dari saat itu, kepercayaanku terhadap perempuan kian tipis.
Maafkan aku Zarin.

Zaiful, aku tidak faham apa yang kau ingin sampaikan padaku. Berterus teranglah. Aku akan cuba menerimanya. Dan aku mengakui segala kesilapanku meninggalkanmu dahulu.

Zarin, aku kini menjalinkan hubungan sesama lelaki dan aku telah menyerahkan tubuhku kepada mereka yang sanggup melayani kesepian malam-malamku. Aku telah jauh menyimpang.

Ada tinta jernih di sudut matanya.

Aku terpana bagai tidak mempercayai kata-kata yang terluah dari bibirnya. 

Sesak dadaku.

Oh Tuhan, aku sungguh tidak percaya dengan luahannya itu. Dalam terkesima aku kecewa.
Buktikan padaku, Zaiful jika benar kata-katamu.

Dia memaut jari-jemariku lembut dan  membawaku ke suatu tempat yang asing.

Bangunan yang menempatkan bilik-bilik kecil.

Salah satu pintu yang berkunci dibuka, dan dari situ dapat aku melihat pasangan lelaki tidur bersama tanpa berbaju. Tanpa memikirkan dosa dan balasan tuhan. Mereka bagai berada dalam dunia khayalan mereka.

Aku tidak dapat membayangkan Zaiful seperti itu.

Ku tatap wajahnya lembut dan matanya yang sayu itu.

Ya Allah, kuatkanlah diriku untuk menghadapi semua ini dan lindungilah diriku dan insan yang amat aku sayangi dari segala kejahatan manusia dan gangguan jin dan syaitan, doaku di dalam hati.

Kakiku bagai tidak jejak tanah. Aku terawang-awang. 

Benar Dia jujur dengan kata-katanya. 

Zaiful, kenapa terlalu jauh kau mengambil langkah. Tidak terfikirkah kau akan keluargamu yang amat menyayangimu. Diriku yang amat menyintai dan merinduimu.
Adakah ini semua salahku?

Sedang fikiranku berkecamuk, kami didatangi seorang lelaki.

Dia menarik Zaiful ke dalam dakapannya dan berlalu pergi meninggalkanku. 

Aku berlari mendapatkan Zaiful kerna Zaiful hanya milikku. 

Terjadilah pergaduhan antara aku dan lelaki asing itu. 

Zaiful cuba meleraikan kami dan tanpa sengaja lelaki itu telah menusuk besi tajam itu tepat ke dada Zaiful. 

Aku menerpa laju ke arah Zaiful dan cuba menekap darah yang keluar membuak dari dada bidangnya.

Apa yang dah jadi ini, Ya Allah, selamatkanlah dia. Aku amat menyayanginya dan tidak ingin kehilangannya sekali lagi.

Dalam kepayahan, aku memapahnya ke kereta. Sepanjang perjalanan aku masih menekap dadanya dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.

Nafasnya kian sesak.

Zaiful, bertahan sayang. Aku tidak mahu kehilanganmu.

Dalam sendu, ku lihat dadanya yang berombak perlahan…

Ku panjatkan doa pada Yang Maha Esa, semoga dirinya kuat menghadapi keadaan ini.

Aku terjaga dari lenaku yang panjang...
Ya Allah, apakah petanda semua ini?

* Kisah ini dipetik dari sebuah mimpi yang panjang.


No comments:

Post a Comment