Thursday, June 14, 2012

Segamat sebagai Pekan Koboi?


SEGAMAT: Seorang peniaga bahan binaan mati ditembak dari jarak dekat ketika mengisi minyak kenderaannya di sebuah stesen minyak dekat Jalan Genuang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, Lim Ching Hoon, 63, mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk susulan terkena enam das tembakan masing-masing pada dada, lengan, paha, betis, pipi dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud, berkata ketika kejadian, mangsa dari Taman Mega Segamat di sini yang memandu sendirian singgah mengisi minyak kereta Mercedes Benz miliknya di stesen terbabit kerana mahu ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.
“Dua suspek bertopi keledar penuh menutupi muka yang menunggang motosikal berwarna gelap membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Genuang dan menghampiri mangsa sebelum pemboncengnya melepaskan tembakan.

“Mangsa yang mengusahakan perniagaan bahan binaan di Jalan Muar-Segamat kemudian terjatuh sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan lagi.

“Suspek dipercayai menggunakan pistol automatik berdasarkan enam kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu dengan motosikal,” katanya di sini, semalam.

Hanafi berkata, polis masih menjalankan siasatan motif serangan, selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen berkenaan. 
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pihaknya menerusi talian 07-931 2222 bagi membantu siasatan.

“Pemilik premis di sekitar pusat bandar Segamat diminta menyemak kedudukan CCTV masing-masing agar sentiasa berfungsi serta meletakkannya di lokasi strategik supaya dapat membantu siasatan jika berlaku kejadian jenayah," katanya.

Pemilik stesen terbabit, Pang Ting Hoh, 60, berkata ketika kejadian, tiga pekerjanya sedang bertugas di stesen terbabit.

“Mangsa adalah pelanggan stesen ini sejak beberapa tahun lalu dan biasanya memenuhkan tangki kenderaannya antara RM120 hingga RM150 sekali isian,” katanya yang terkejut dengan kejadian itu.

Pekerja stesen minyak terbabit, Faiz Sukimi, 24, berkata ketika kejadian hanya kereta milik mangsa singgah di situ untuk mengisi minyak.

“Sejurus terdengar bunyi tembakan, saya sangkakan tayar kereta meletup, tetapi sebenarnya tembakan pistol yang dilepaskan pembonceng motosikal ke arah pelanggan yang sedang mengisi minyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment