Friday, January 4, 2013

Diari Kehamilan II - Proses Kelahiran


Masanya Dah Tiba Untuk Bersalin


Inilah masa yang dinanti-nantikan. Sama ada anda akan bersalin pada minggu 36, 37, 38, 39 atau 40. Topik ini amat penting bagi anda. Jadi, ikuti pengalaman yang menakjubkan ini. Sebagai ibu yang menanti untuk saat melahirkan seharusnya anda bersedia daripada pelbagai sudut. Ada beberapa situasi yang perlu anda awasi dan fahami sebelum melahirkan. Perkara di bawah ini adalah tanda-tanda awal kelahiran:
  • Berlaku kontraksi dan terdapat sedikit darah keluar dari faraj. Kontraksi mungkin berlaku secara tiba-tiba.
  • Cirit birit dan diikuti dengan memulas pada bahagian perut.
  • Sakit belakang yang agak teruk dan tidak menentu.
  • Sakit seperti senggugut di bawah perut.
  • Cairan amniotik atau air ketuban keluar sedikit demi sedikit. Kontraksi berlaku makin kerap.
Masa Melahirkan

Tempoh masa melahirkan dibahagikan kepada tiga tahap. Jika bakal ibu belum pernah ada pengalaman bersalin, proses bersalin akan berlaku dalam jangka masa 12 jam hingga 16 jam. Manakala ibu yang sudah berpengalaman hanya mengambil masa kurang 12 jam.

A. Tahap Pertama

Tahap pertama proses kelahiran bermula:

Rasa sakit di bahagian belakang akibat aktiviti pengecutan rahim dan pengembangan serviks. Rasa sakit ini akan beralih ke hadapan sehingga pada bahagian bawah abdomen (rongga perut). Keadaan ini berlangsung dalam tempoh tertentu dan sakit makin bertambah setiap kali diserang kontraksi.

Wujud tanda-tanda atau petunjuk misalnya keluarnya mukus yang bercampur darah dari vagina. Keadaan ini berlaku disebabkan mukus mulai memenuhi serviks. Pada tahap ini, bakal ibu disuruh berbaring tanpa diberi makan dan hanya sedikit minuman. Proses kelahiran diperiksa dengan memerhatikan keadaan kepala bayi dan bukaan pada pintu rahim. Dalam masa yang sama, doktor atau bidan bertauliah akan memeriksa jantung janin dan direkodkan selang sejam. Keadaan ibu juga diperiksa. Paras air dalam badan, tekanan darah, tahap kesakitan akan diperiksa dengan teliti. Sekali setiap jam, suhu badan, degupan nadi ibu akan direkodkan juga.

Kesakitan pada tahap pertama tidak teruk. Ia dinamakan sebagai fasa pendam. Anda masih boleh bersembang, membaca, menonton televisyen dan sebagainya. Keadaan ini boleh berlaku selama lapan hingga sembilan jam. Apabila pengecutan menjadi semakin hebat, serviks akan bertukar menjadi pendek.

Proses menipis serviks ini dinamakan sebagai efasmen serviks. Dalam keadaan ini serviks menjadi pendek, lembut dan menjadi satu saluran pendek yang dinamakan sebagai serviks matang. Penekanan ke atas serviks ini memaksa saluran serviks terbuka. Situasi ini membuatkan kepala bayi turun ke bahagian pelvis. Namum, lapisan pundi ketuban masih lagi teguh. Apabila kesakitan semakin terasa, ia menandakan kesakitan ke tahap aktif.

Ketika ini, pengecutan rahim menjadi semakin kuat dan bertambah kerap. Serviks terus terbuka dan janin akan menurun. Bagi ibu yang belum pernah bersalin, jumlah bukaan berlaku dengan kadar bukaan satu sm sejam. Manakala, bagi wanita yang pernah bersalin akan membuka serviks 1.5 hingga 2 sm sejam.

Ketika ini ibu akan merasa kemuncak sakit. Namum, ibu masih belum boleh meneran kerana serviks belum terbuka sepenuhnya. Jika ibu tidak dapat menahan sakit, boleh lakukan senaman menahan sakit. Selain itu, anda boleh meminta bius epidural untuk melegakan kesakitan bersalin.

Peringkat pertama kelahiran berakhir apabila serviks terbuka sepenuhnya. Ibu yang pernah bersalin sering mengalami kerumitan air ketuban pecah terlebih dahulu kerana penipisan otot rahim. Sekiranya proses pembukaan serviks terhenti pada ukuran di bawah 6 sm, ini menandakan serviks mengalami masalah untuk membuka sepenuhnya. Sekiranya serviks kelihatan edema atau lebam, ini adalah petanda buruk dan proses kelahiran alternatif akan dilakukan seperti dengan cara pembedahan.

Apabila memasuki peringkat kedua, bidan akan menyapu larutan antiseptik pada bahagian pubis, abdomen bawah, vulva, lubang vagina serta bahagian paha dan sekitarnya. Anda akan berasa sejuk sebaik sahaja antiseptik disapu pada bahagian yang disebut tadi. Hal ini kerana, antiseptik ini disimpan di dalam peti sejuk untuk menjamin keselamatan dan kebersihannya.

1. Kepala bayi mulai turun ke pintu rahim pada peringkat pertama kelahiran.

2. Tekanan kepada bayi pada rektum dan lantai pelvik mengaktifkan proses meneran kepada si ibu.

3. Sebahagian muka dan kepala mula kelihatan sedikit demi sedikit diikuti bahagian bahu dan anggota lain akan mengikuti kemudian.

4. Plasenta atau uri akan dikeluarkan dan diperiksa. Bidan akan memastikan tiada sisa uri yang tertinggal dalam rahim ibu.

B. Tahap Kedua

Peringkat kedua bermula apabila serviks terbuka sepenuhnya dan air ketuban keluar dengan banyak akibat pundi ketuban pecah. Doktor atau bidan akan memerhatikan pundi-pundi kencing anda supaya tidak mengembung dan boleh menghalang kepala janin daripada turun.

Apabila proses pengeluaran janin sedang berlaku, ibu perlu berada di posisi baring (mengikut posisi yang dianggap sesuai) sambil meneran sekuat hati apabila kecutan rahim sampai ke kemuncaknya. Pada ketika ini kepala janin sudah berada pada tahap perinium dan bahagian dubur mulai mengembang. Tugas paling kritikal pada tahap kedua ini adalah mengelak perinium terkoyak.

Perinium

Pengoyakan perinium boleh dielak dengan mencegah kepala bayi keluar pada masa di antara pengecutan rahim. Jika terdapat sebarang tanda bahawa kepala bayi turun terlalu cepat, doktor akan menekannya dengan satu tangan supaya dia tidak terkeluar serta-merta. Sementara tangan sebelah lagi diletakkan di perinium untuk menolong pengeluaran verteks (puncak kepala anak) melalui saluran peranakan. Hal ini adalah untuk mengelakkan kelahiran normal dan membolehkan diameter kepala yang terkecil muncul melalui salur keluar.

C. Tahap Ketiga

Tujuan utama dalam peringkat ketiga kelahiran ialah untuk mengeluarkan uri dan selaput ketuban serta menghentikan pendarahan dan untuk menjamin pengecutan dan penarikan balik rahim dengan sempurna.

Tanda-Tanda Uri Terasing
  • Ibu berasa sakit apabila rahim mengecut dengan kuat kerana ruang rahim menjadi kosong.
  • Sedikit pendarahan daripada faraj.
  • Tali pusat yang ditarik panjang.
  • Fundus (bahagian atas) rahim timbul atas pusat.
  • Bahagian atas tulang simfisis pubis menggelembung
Uri terasing dengan cepat. Lazimnya dua hingga lima minit selepas bayi lahir. Setelah uri terasing dengan lengkap dan terletak longgar di bawah rahim, doktor akan menggunakan sebelah tangan menolak rahim yang mengecut ke arah pusat. Manakala tangan satu lagi akan memegang tali pusat ke atas untuk meringankan berat uri yang keluar.

Tali pusat di dalam salur peranakan ditarik perlahan-lahan untuk mengeluarkan. Jika selaput ketuban melekat atau tidak boleh menembusi rongga serviks, tali pusat akan dibelit-belit seperti tali dan ditarik keluar secara perlahan-lahan.

Bahaya inversi serviks hanya berlaku jika proses penarikan dilakukan sebelum uri betul-betul terasing dengan sepenuhnya pada serviks. Sebaik sahaja uri dikeluarkan, uri dan selaput ketuban akan diperiksa untuk memastikan keadaan sempurna. Selepas kepala bayi keluar, 0.25mg ubat ergometrin disuntik untuk mendorong rahim mengecut selepas bayi lahir. Kemudian, diikuti dengan kedua-dua belah bahu dan seterusnya sehingga seluruh badan bayi keluar.

Tali Pusat
Lazimnya ada beberapa pandangan pakar mengenai masa yang tepat untuk memotong tali pusat. Sesetengah doktor memotong tali pusat apabila denyutannya telah berhenti. Ada doktor yang menunggu sehingga darah beroksigen dipindahkan kepada bayi.
Namum, ada juga doktor yang memotong tali pusat sejurus sahaja bayi dikeluarkan. Tali pusat yang sudah dipotong, diikat ketat-ketat di dua tempat yang berdekatan untuk mencegah pendarahan. Selepas dipotong, tunggulnya diperiksa supaya tidak berlaku sebarang komplikasi lain.

No comments:

Post a Comment